Jalinan lé Blog

Google
 
Web jalinan.blogspot.com

July 07, 2004

Berita : Bayi atas rak anak sendiri


macam2 skang.... sampainyer hati mak bapak..!
- watie


SEREMBAN: Suami kepada seorang wanita yang mendakwa menjumpai bayi perempuan di atas rak kasut rumahnya, akhirnya mengaku bahawa kanak-kanak itu adalah anak mereka.

Suami wanita itu yang bekerja sebagai tukang kimpal berusia 22 tahun itu mengaku bahawa bayi perempuan itu adalah anak hasil hubungan mereka sebelum bergelar suami isteri sejak beberapa bulan lalu. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Abdullah, berkata pengakuan lelaki itu dibuat kepada pegawai penyiasat polis ketika mereka ditahan untuk membantu siasatan pada 22 Jun lalu.

Mereka ditahan selepas isterinya yang juga berusia 22 tahun mengaku menemui bayi perempuan dipercayai berusia kira-kira seminggu ketika ditemui dalam keadaan berbogel di atas rak kasut rumahnya di Bandar Seremban Selatan pada 20 Jun lalu.

Pasangan itu menghantar anak itu ke rumah rakan suaminya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang pada awal malam kejadian selepas mendakwa kononnya mereka tidak tahu hendak berbuat apa-apa dengan bayi yang ditemui. Suami dan rakannya kemudian membuat laporan polis mengenai penemuan bayi terbabit.

Bagaimanapun, polis mengesyaki sesuatu apabila wanita itu dilihat dalam keadaan lemah menyebabkan wanita itu diminta menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Seremban seterusnya mengesahkan wanita itu baru melahirkan anak. Wanita itu yang mulanya mengaku kepada wartawan bahawa dia sedang mengandung tiga bulan, dipercayai melahirkan anak di rumahnya dan memotong sendiri tali pusat bayinya.

Pasangan itu dipercayai bertindak demikian kerana menghadapi tekanan hidup berikutan kelahiran bayi terbabit sedangkan mereka masih belum bersedia. Mohamad berkata, pasangan itu dibebaskan dengan jaminan polis dan pihaknya masih belum mengambil sebarang tindakan berikutan wanita itu masih lemah.

"Kita merujuk kes ini kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi menentukan sama ada pasangan itu akan didakwa atau tidak. "Ketika ini, kami bebaskan mereka memandangkan wanita itu masih dalam pantang (bersalin)," katanya semalam. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan membuat laporan palsu.

Bayi malang seberat 2.8 kilogram itu dirawat di Wad Pediatrik Hospital Seremban sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dihantar ke pusat jagaan khas bayi terbiar dikendalikan JKM.

Nasib bayi malang itu turut mendapat perhatian Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Norhayati Omar yang melawat mangsa di Hospital Seremban.



Originally posted by Watie on

0 Comments:

Post a Comment

<< Home