Jalinan lé Blog

Google
 
Web jalinan.blogspot.com

June 25, 2004

Berita : Mayat wanita mangsa culik ditemui (Kidnapped at KLCC!)


Mayat wanita mangsa culik ditemui
Oleh Wan Faizal Wan Jaafar

KEPONG: Mayat seorang wanita berusia 23 tahun yang hampir reput dipercayai mangsa culik, ditemui dalam sebuah lombong tinggal di Taman Suria, Batu 6, di sini, tengah hari semalam.

Wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu dilaporkan diculik Isnin lalu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibuang dalam lombong berkenaan.

Jurucakap polis berkata, ketika ditemui, mangsa dikenali sebagai Julia Lau Lee Mei, yang memakai baju-T hitam dan berseluar jeans biru gelap, diikat di kedua-dua kaki manakala pergelangan tangannya mempunyai kesan ikatan.

"Kedua-dua kaki wanita itu diikat dengan wayar manakala kedua-dua pergelangan tangannya mempunyai kesan ikatan. Polis juga mendapati mangsa memakai sebentuk cincin di jari kanannya,? katanya sambil menambah, siasatan awal polis mendapati mangsa adalah seorang pelajar di pusat kecantikan di Pandan Indah.

Berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput, polis percaya wanita berkenaan dibunuh kira-kira tiga hari lalu.

Jurucakap itu berkata, mayat mangsa ditemui seorang pekerja membaiki jalan berhampiran lombong berkenaan, kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurutnya, keluarga mangsa yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu, bergegas ke sini petang semalam untuk membuat pengecaman mayat di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, mayat berkenaan disahkan sebagai Julia, berdasarkan cincin yang dipakai pada jari kanannya.

Isnin lalu, keluarga mangsa yang tinggal di Kuching menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali meminta wang tebusan sebanyak RM1.2 juta selepas dipercayai menculik mangsa di KLCC pada hari yang sama.

Bagaimanapun, keluarga mangsa gagal menunaikan tuntutan itu dan membuat laporan polis di Kuching.

Katanya, sehingga petang semalam, polis menahan dua lelaki yang dipercayai tinggal sekampung dengan mangsa di Kuching, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat wanita itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung penculikannya kerana beliau akan mengadakan sidang media berhubung kes itu, pagi ini.

"Keluarga wanita itu telah datang ke HKL dan mereka sudah mengenal pasti identiti mangsa. Kita sedang tunggu laporan bedah siasat,? katanya.



Originally posted by Watie on

0 Comments:

Post a Comment

<< Home