Jalinan lé Blog

Google
 
Web jalinan.blogspot.com

July 18, 2004

Renungan : Pandangan Yang Jernih


PADA suatu malam Shafiyah mengunjungi Rasululllah s. a. w. yang sedang beriktikaf di masjid dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Dia terpaksa mendatangi suaminya itu kerana ada masalah penting yang harus segera dibicarakan. Menjelang masuk waktu Isyak, dia berdiri hendak pulang dan Nabi menghantarnya sampai ke pintu masjid.

Mereka berselisihan dengan dua orang sahabat Ansar yang akan melaksanakan solat jemaah. Kedua sahabat itu memberi salam, lantas berlalu dengan cepat. Rasulullah menegur, "Berhentilah sebentar. Yang di sampingku ini Shafiyah, isteriku."

Kedua orang sahabat Ansar itu bahkan mengucap, "Subhanallah, janda Huyai bin Ka'ab."

Nabi tahu ke arah mana isi perkataan mereka itu. Dia hanya berdiam diri seraya berfikir. Kalau mereka saja tidak memahami tujuan perkahwinannya, apatah lagi umat di kemudian hari? Padahal setelah Khatijah meninggal, tiga tahun lamanya dia menduda. Semua isteri berikutnya dinikahi berdasarkan perintah wahyu dan tujuan kemanusiaan sehingga seluruhnya janda-janda yang memerlukan perlindungan kecuali seorang saja, Aishah. Oleh kerana itu, dengan sedih Nabi berkata:

"Syaitan itu mengalir di dalam diri manusia mengikuti aliran darahnya. Malahan dijadikannya dada manusia itu sebagai tempat tinggalnya kecuali orang yang dilindungi Allah." Pada waktu yang lain, Rasulullah ditanya siapa yang dilindungi Allah itu, dia menjawab, "Mereka yang selalu memohon perlindungan Allah."

"Siapakah gerangan?" Tanya para sahabat pula.

"Orang-orang itu adalah yang banyak melakukan kebajikan, ikhlas amalnya, dan bersih hatinya."

Dari kedua peristiwa tersebut yang rasanya saling berkaitan itu, yang perlu kita ketahui ialah, ada hubungan antara sabda Nabi yang terakhir, dengan ucapan kedua sahabat Ansar mengenai Ummul Mukminin, Shafiyah?

Untuk itu kita perlu singkap, siapa sebenarnya Shafiyah, yang dinikahi Nabi mendampingi isteri-isterinya yang lain itu. Dalam Perang Khaibar, untuk menghancurkan kekuatan tentera Yahudi yang selalu melakukan kejahatan terhadap umat Islam dan pemerintah Madinah, salah seorang korban yang tewas adalah Huyai bin Ka'ab, pemimpin kaum pemberontak. Shafiyah adalah isteri Huyai. Tidak seorang pun yang bersedia memelihara Shafiyah, padahal nasibnya tidak menentu waktu itu, masyarakat sekeliling menganggap Yahudi sama najisnya dengan anjing-anjing kurap, akibat kedegilan mereka sendiri. jadi, tatkala Nabi mengambil Syafiyah menjadi isterinya, hal itu semata-mata untuk memberi teladan, betapa seharusnya umat Islam di dalam memandang manusia, jangan hanya dengan sebelah mata. Ertinya, dengan niat berbuat baik, dengan keihklasan yang murni, dan dengan kebersihan hati yang tulus, manusia harus dilihat secara utuh. Berdasarkan ajaran islam, tidak ada manusia yang baik secara sempurna sebagaimana tidak ada yang seluruhnya buruk. Di balik kekuatan ada kelemahan, di balik kebaikan ada kekurangan. Begitu juga di celah-celah kelemahan dan keburukan, pasti tersimpan pula kebajikan pada diri setiap orang.

Jelas bahawa dari satu sisi, pelacur adalah pelacur, pencuri adalah pencuri. Mereka telah melakukan perbuatan yang melanggar susila, nilai-nilai agama, dan hukum negara. Akan tetapi, jika kita masuk ke dalam batin mereka, tidak selamanya pelacur sama jahatnya dengan pelacur, pencuri sama jahatnya dengan seorang pencuri, bergantung kepada sebabnya. Boleh jadi seorang pencuri yang mati di tangan orang awam, ditangisi anak-anaknya sebagai pahlawan keluarga kerana dia melakukan perbuatan buruk itu untuk membeli ubat bagi anaknya yang sakit, membeli makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan.

Oleh sebab itu, meskipun ancaman hukum potong tangan bagi para pencuri dan rejam bagi penzina, ketika Nabi masih hidup, belum pernah satu pun yang dilaksanakan kecuali atas seorang perempuan Yahudi yang minta diadili berdasarkan hukum Taurat. Untuk itu, Nabi bersabda, "Kemiskinan itu mendekatkan manusia kepada kefakiran."

Lima tahun yang lalu saya kehilangan sebuah kereta, satu-satunya kenderaan saya, sewaktu menghantarkan anak saya ke stesyen Gambir kerana hendak berangkat ke pusat pengajian, hanya lima belas minit saya berada di perhentian. Ketika keluar ke halaman meletak kereta, kereta saya sudah hilang.

Hari itu juga saya mengirimkan surat untuk halaman pembaca ke tiga surat khabar Ibu Kota. Saya tulis begini: "Kereta itu saya beli dengan wang tabungan saya dan isteri saya. Kereta itu saya gunakan untuk berdakwah kemana-mana. Tidak sesen pun wang haram terdapat dalam pembelian kereta itu. Sengaja saya beli dengan bersusah payah kerana doktor melarang saya menaiki motor akibat jantung dan paru-paru saya yang sudah rosak. Jadi, tolong kembalikanlah kereta saya, mudah-mudahan anda diberkati Allah."

Tiga hari kemudian ada seseorang yang menelefon saya bahawa kereta itu boleh diambil di belakang Hotel Indonesia pukul tiga petang. Alhamdulillah, penelefon itu tidak berdusta. Kembalilah kereta saya dalam keadaan 'segar bugar'. Saya pun lantas menulis surat di halaman pembaca ke tiga surat khabar yang bersangkutan, menyampaikan rasa terima kasih setulus-tulusnya kepada pencuri yang "baik hati" itu.

Bukankah kejadian kecil ini membuktikan bahawa seorang penjahat pun, apabila di sentuh hati nuraninya, akan tergetar juga? Bahawa suara Tuhan masih mampu menembus tabir dosa yang menyelimuti dada manusia? Setiap malam, Tuhan turun ke langit dunia dan berseru-seru, memanggil para hamba-Nya yang bersedia berlindung dalam pelukanNya. Suara mendayu bersama angin yang bertiup, meningkahi titik-titik air yang menitis dari celah-celah jari-jemari hambaNya kaum Muslimin yang sedang mengambil wuduk. Dalam hadis Qudsi, firman Allah itu berbunyi yang bermaksud:

"Barang siapa yang mencari Aku, akan Ku-cari dia. Barang siapa yang mencintai Aku, akan Ku-cintai dia, dan barang siapa yang meminta ampun kepadaKu, pasti akan Ku-ampuni dia."

"Oleh sebab itu, tataplah dunia ini dengan hati putih. Pandanglah manusia dengan jiwa yang bersih. Kadang-kadang yang kau anggap buruk sebetulnya justeru baik untuk engkau, sementara yang kau kira baik malahan amat buruk untuk engkau," ucap Imam Abu Laits, seorang sufi tua kepada para muridnya. Lalu dia pun membaca sebuah firman Allah teentang keharusan orang beriman untuk memandang sampai jauh ke seberang, di balik yang terlihat, yang teraba, dan yang terasa. Firman Allah yang bermaksud.

"Jangan-jangan kamu membenci sesuatu, ternyata dia baik bagimu. Atau mungkin saja kamu mencintai sesuatu, padahal buruk untukmu." (An-Nisa': 216)

Di petik dari Taburan Bunga Syurga, K. H. AbdurRahman Arroisi



Originally posted by Arrys on

0 Comments:

Post a Comment

<< Home